PENTAKSIRAN
ALTENATIF
Pentaksiran Alternatif (PA) merupakan pentaksiran yang sering
diamalkan di institut pendidikan tinggi dunia. Pelaksanaannya
bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal, inklusif dan telus;
bermakna pengukuran dilakukan dalam pelbagai konteks dan masa. PA
mendapat perhatian setelah diperkenalkan sekitar tahun 1990an
disebabkan berlakunya revolusi pendidikan bagi menempuh pembelajaran
Abad ke 21. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah
memulakan usaha membugar persekitaran pendidikan yang sekaligus
memberi impak kepada struktur kurikulum, penyampaian pembelajaran,
pengajaran dan pentaksiran yang merujuk kepada kriteria dan standard
bagi mentafsir prestasi pelajar (di kenali sebagai Criterion
Referenced Assessment).
Untuk mencapai hasrat tersebut, pelaksanaan PA perlu
dirancang dengan baik agar tujuan menilai kebolehan pelajar
melakukan tugasan bukan sekadar mengukur apa yang pelajar tahu. PA
merupakan kaedah asas dan asli dalam membuat penilaian berdasarkan
pemerhatian dan pelaporan tentang kemajuan dan prestasi sebenar
seseorang pelajar; komunikasi keperluan, konteksual jangkaan,
pengukuhan asas keputusan, pemeliharaan keadilan dan ianya juga
dikatakan berfungsi sebagai kerangka pentaksiran yang kukuh. PA yang
menggunakan pendekatan pentaksiran formatif dijangka dapat mengukur
kompetensi dalam aplikasi pengetahuan berbanding penghafalan fakta.
PA mengukur keupayaan pelajar melalui tugasan seperti projek,
portfolio, laporan anekdotal, konferens, penghasilan audio, video
dan lain-lain samada dalam mod pembelajaran bersemuka atau atas
talian. Sebagai contoh, pentaksiran portfolio memerlukan pelajar
untuk mengumpul hasil kerja terbaik setelah pentaksiran formatif (berdasarkan
kriteria yang terdapat dalam rubrik hasil maklum balas dari
pensyarah secara berterusan) dilaksanakan. Ini akan membantu pelajar
menghasilkan hasil kerja terbaik (exemplar) untuk diberikan
markah sumatif pada akhir sesuatu tempoh pembelajaran. Pembelajaran
berlaku secara berterusan bila mana pelajar menambahbaik kualiti
tugasan berdasarkan deskriptor bagi sesuatu kriteria dan standard
yang ingin dicapai (kriteria yang dirancang merangkumi domain
kognitif, afektif dan psikomotor). Dalam erti kata lain,
pelaksanaan PA dapat mencungkil potensi sebenar pelajar dengan
mengukur bukan sahaja kognitif yang lazimnya dilakukan melalui
pentaksiran tradisional bahkan juga dapat mengukur kemahiran generik
bagi mengesan kemajuan domain manusia secara holistik; kognitif,
afektif dan psikomotor secara bersepadu. Keberkesanan PA telah
dibuktikan melalui kajian empirikal sebagai satu kaedah pentaksiran
yang efektif di peringkat individu dan program di institusi
pengajian tinggi.
2.1
Ciri-ciri Pentaksiran Alternatif
PA dikenali juga sebagai pentaksiran formatif yang mengandungi
karakteristik seperti berikut;
●
dirancang oleh guru/ pendidik
●
mengambilkira latar belakang dan keperluan setiap
unik individu pelajar
●
mengambilkira kemajuan holistik pelajar berdasarkan
tempoh masa
●
fleksibel, responsif dan berterusan berdasarkan
perkembangan objektif kurikulum
●
bergantung kepada gaya pembelajaran dan kecenderungan
pelajar
●
pendokumentasian / pelaporan secara kualitatif
menggunakan deskriptor dengan membandingkan dengan prestasi sebelum
dan / atau berdasarkan demonstrasi kemahiran.
Walau bagaimanapun, PA BUKAN;
●
penilaian standardisasi / skala besar
/ high-stakes
●
bertujuan menggantikan / mentiadakan kepentingan
pentaksiran tradisional (Hakikatnya, PA dilaksanakan dengan tujuan
untuk menyempurnakan proses pentaksiran secara keseluruhan)
●
dilaksanakan pada akhir sesuatu tempuh pembelajaran
●
pentaksiran yang membandingkan kebolehan antara
pelajar; pentaksiran berasaskan norma.
●
dilaporkan dalam bentuk kuantitatif data sahaja
●
diukur melalui kaedah tradisional; aneka pilihan,
betul / salah, isi tempat kosong
●
sempurna, komprehensif dan bersesuaian untuk semua
keadaan.
2.2
Kebaikan Pentaksiran Alternatif
Terdapat banyak kebaikan melaksanakan PA kepada pelajar, pensyarah
dan sistem pendidikan seperti berikut;
●
lebih realistik, memaham, menganalisis dan
mensintesis ilmu yang dipelajari sehingga pelajar berupaya membuat
kesimpulan secara konsisten beserta justifikasi.
●
memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan
ilmu yang telah mereka pelajari secara konstruktif melalui
penyelesaian masalah dari pelbagai tugasan.
●
meningkatkan kebolehan pemikiran pelajar; melalui
proses berfikir aras tinggi sehingga melahirkan idea kreatif dan
inovatif
●
meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar kerana
mereka perlu menyatakan dan menerangkan penyelesaian/penemuan logik
mereka kepada rakan sebaya/pendidik/pemeriksa.
●
lebih holistik dan relevan, kemahiran dan sikap
diukur bersama dengan ilmu yang diperoleh sesuai dengan keperluan
sistem pendidikan.
●
sistem penggredan ditentukan berdasarkan piawaian dan
kriteria yang jelas, memberikan ruang keadilan kepada pelajar
●
pensyarah mempunyai pemahaman yang jelas tentang
kaedah pedagogi yang digunakan apabila menyaksikan sendiri bagaimana
penglibatan pelajar dalam tugasan menghasilkan sesuatu yang
produktif.
●
proses penggredan dapat dilakukan secara holistik;
mengukur aspek kognitif, afektif dan psikomotor bagi menghasilkan
proses pemarkahan yang adil.
●
ruang kreativiti terbuka kepada semua pelajar kerana
diberi peluang yang sama untuk menerapkan ilmu yang diperoleh dengan
cara tersendiri melalui tugasan yang sama.
Sehubungan dengan perkembangan PA sebagai kaedah pentaksiran yang
inklusif, KPT (2018) telah memperkenalkan lapan jenis PA
(ms.84-p.85) setelah mengambil kira amalan global dalam pentaksiran.
Task Force Rubrik FSSK telah membuat kajian literatur secara
sistematik, maka terhasil definisi konsep dan ciri-ciri bagi setiap
jenis PA dalam konteks Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia. Maka
definisi konsep PA adalah merujuk kepada proses pentaksiran formatif
yang di reka bentuk untuk menilai prestasi pelajar menggunakan
pendekatan holistik di mana pelajar perlu memberikan respons
kompleks berbanding pentaksiran tradisional; pelajar diberi peluang
untuk menunjukkan penguasaan pengetahuan yang mendalam yang telah
mereka pelajari melalui memanfaatkan kreativiti dan penglibatan
aktif. Pensyarah pula merancang dan melaksanakan PA melalui
pemerhatian dan pelaporan prestasi secara organik/ berterusan dan
tulen / berdasarkan prestasi dan holistik / menyeluruh Jadual 2
menunjukkan butirannya secara terperinci.
Bil |
Jenis PA |
Karakteristik |
1 |
Pentaksiran Berasaskan Prestasi
|
Tugasan yang direkabentuk bagi pengaplikasian
pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai dalam konteks
pendidikan / persekitaran dunia nyata
Pelajar menggunakan pengetahuan dan kemahiran
dalam melaksanakan tugasan tertentu secara
hands-on. |
2 |
Pentaksiran
Autentik
|
Tugasan yang diberikan kepada pelajar adalah
berdasarkan konteks dunia nyata.
Tugas-tugas yang direka bentuk bertujuan
untuk menilai pengaplikasian pengetahuan dan kemahiran
Tugasan yang direka bentuk melibatkan
penyertaan aktif dan keterlibatan pelajar secara holistik (kognitif,
afektif, psikomotor) |
3 |
Pentaksiran Berasaskan Projek |
Tugas pentaksiran yang mengintegrasi
kandungan penting dan kemahiran dalam membangunkan sesuatu
projek
Tugasan diberikan dalam bentuk soalan terbuka
/ divergent / berupa cabaran.
Tugasan memerlukan pelajar membuat siasatan
untuk mempelajari (inkuiri) atau mencipta sesuatu yang
baharu |
4 |
Pentaksiran Bersepadu |
Pentaksiran kebolehan / keupayaan pelajar
menggunakan pelbagai kaedah; formatif dan sumatif
Tugasan direkabentuk bagi mengukur kebolehan
pelajar untuk mengintegrasikan konsep / idea / selari dengan
tindakan
Tugasan yang memerlukan pelajar untuk
menunjukkan / mengaplikasikan kecekapan / kompetensi dalam
keseluruhan aktiviti kerja |
5 |
Pentaksiran
Berasaskan Cabaran |
Tugasan yang melibatkan kerangka pembelajaran
berkesan; menyelesaikan cabaran dunia nyata
Tugasan yang menggalakkan penglibatan dan
kerjasama antara pelajar, guru, keluarga, dan ahli komuniti
bagi mengenal pasti idea-idea besar, bertanya soalan-soalan
yang bijak, dan menyelesaikan cabaran.
Tugasan membantu pelajar menguasai kandungan
kursus secara mendalam bagi menghadapi perkembangan isu
dunia yang sentiasa berubah.
|
6 |
Pentaksiran
Ketersendirian (Personalised)
|
Pelajar membuat refleksi terhadap proses
pembelajaran secara kendiri berdasarkan pemahaman mendalam
tentang kualiti pembelajaran berdasarkan pengalaman peribadi
Pelajar bertanggungjawab terhadap pembelajaran melalui
penilaian kendiri dan penilaian rakan sebaya |
7 |
Pentaksiran Masa Nyata
(Real Time)
|
Pelajar diberi alat/bahan pembelajaran yang
selari dengan kemampuan mereka
Contohnya pelajar berpencapaian tinggi diberi
tugas yang lebih mencabar dan sebaliknya
Pelajar diberi peneguhan secara berterusan
sepanjang proses pembelajaran
Pelajar diberi peluang untuk berlatih untuk
menguasai pelajaran sebelum meneruskan pelajaran lain (self-paced) |
8 |
Pentaksiran Profil
|
Tugasan yang dirancang bertujuan mengukur
kebolehan pelajar dalam kemahiran teknikal dan kemahiran
generik.
Pelajar menunjukkan prestasi terbaik apabila mereka terus
mempelajari kemahiran baru secara berkumpulan (sebagai
contoh kemahiran kepimpinan)
Tugasan/penilaian memerlukan pelajar menetapkan matlamat
jangka panjang yang boleh dicapai (domain afektif sebagai
indikator keperibadian) |
Bagi memantapkan amalan PA di FSSK, semua pensyarah digalakkan untuk
menerap konsep Pentaksiran Berasaskan Rujukan Kriteria
(PRK). Prosedur PRK melibatkan aktiviti menilai dan menggred
pembelajaran pelajar terhadap satu set kriteria yang telah
ditetapkan tanpa merujuk kepada prestasi pelajar lain sebagai
perbandingan. Memandangkan pengukuran hasil pembelajaran MQF 2.0
akan mulai digunakan pada tahun akademik 2022 (Sem 1), tiga (3)
kluster dengan lapan (8) Hasil Pembelajaran Kursus / Program (HPK/P)
akan dinilai merentasi kursus dan program dalam mengukur kemahiran
generik. Ia adalah (i) Kemahiran Interpersonal (IPS), (ii) Kemahiran
Komunikasi (CS), (iii) Kemahiran Digital (DS), (iv) Kemahiran
Numerasi (NS), (v) Kepimpinan, Autonomi dan Tanggungjawab (LAR) dan
(vi) Kemahiran Personal (PRS), (vii) Kemahiran Keusahawanan (ENT)
dan (viii) Etika dan Profesionalisme (ETS).
Mengimbangi keperluan MQA, FSSH telah bergerak secara proaktif bagi
menghasilkan alat penskoran 8 kemahiran generik bagi mengekalkan
amalan pentaksiran yang sah dan boleh dipercaya. Objektif
membangunkan alat penskoran standard juga adalah untuk menyelaraskan
kaedah pentaksiran secara konstruktif bersesuaian dengan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran bagi mencapai hasil pembelajaran yang
diharapkan di peringkat fakulti dan sekaligus mematuhi peraturan
pengauditan MQA. Langkah pemantapan adalah dengan menghasilkan alat
penskoran yang dipanggil Rubrik. Antara sifat rubrik yang
dihasilkan adalah (i) mengandungi piawaian/standard dan kriteria
pentaksiran yang jelas digunakan secara konsisten dengan objektif
kursus, (ii) jenis rubrik (analitik) yang digunakan memenuhi
kriteria pentaksiran, (iii) keselarasan dalam pemilihan kriteria
pentaksiran akan menghasilkan keobjektifan dalam memutuskan skor /
gred, (iv) setiap kriteria pentaksiran diukur berdasarkan skor
mentah berwajaran atau berdasarkan peratusan jumlah skor, (v) rubrik
yang sama diguna pakai secara konsisten untuk semua program yang
ditawarkan di FSSH bagi memudahkan perbandingan dibuat antara kursus
dan program dan (vi) deskriptor menggambarkan kualiti serta dimensi
yang diukur yang akan menentukan tahap prestasi pelajar. Secara
praktikal, pemilihan kriteria sangat bergantung kepada jenis tugasan
serta tahap pengetahuan dan kemahiran kursus yang telah ditetapkan
dalam Maklumat Kursus (Course Information) yang dipanggil
sebagai Hasil Pembelajaran Kursus (CLO - Course Learning Outcomes)
dan Hasil Pembelajaran Program (Program Learning Outcomes).
Rubrik yang dibangunkan adalah sejajar dengan pengetahuan dan
kemahiran yang diukur berdasarkan perancangan kurikulum; dalam masa
yang sama mengekalkan konsep Penjajaran Konstruktif (Constructive
Alignment).
|